Saturday, 19 March 2011

Pengunduran Taib satu kehilangan besar untuk rakyat Sarawak

Oleh: Biak Kacak






Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bakal dibubarkan pada isnin ini, dan Pilihanraya DUN Sarawak bakal berlangsung tidak lama selepas itu. Parti-parti politik di Sarawak akan berentap lagi selepas kali terakhir pada tahun 2009.
Bagi Pehin Seri Abdul Taib Mahmud, pilihanraya ini mungkin adalah kali terakhir baginya untuk bertanding sebagai calon. Beliau sudah pun mengumumkan pengundurannya sebagai Ketua Menteri Sarawak selepas memegang jawatan tersebut sejak 1981 lagi. Sebagai seorang yang bertanggungjawab membangunkan Sarawak selama lebih dua dekad, segala jasa dan pengorbanan beliau terhadap negari Sarawak tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak.


Pengunduran beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak selepas pilihanraya DUN di Bumi Kenyalang ini bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan. Pada penulis, Taib Mahmud mempunyai kekuatan yang amat luar biasa untuk memastikan Sarawak membangun dan memastikan kestabilan politik negeri itu dijaga dengan baik.
Taib Mahmud disegani oleh semua lapisan masyarakat di Sarawak. Beliau dihormati oleh kawan dan lawannya. Jika Tun Dr. Mahathir dilihat sebagai tokoh negarawan yang ulung di era zaman pentadbirannya selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri Malaysia, Pehin Seri Abdul Taib pula dilihat bagaikan “bayangan” Tun M di Sarawak.
Pada tahun 1981, Tun Dr. Mahathir telah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dan pada tahun yang sama juga, Pehin Seri Abdul Taib Mahmud dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak. Ini adalah satu persamaan yang jelas di antara kedua tokoh pemimpin Barisan Nasional ini. Bezanya, Tun M berada di peringkat Kerajaan Persekutuan, dan Taib Mahmud pula di peringkat negeri Sarawak.
Kehilangan Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak bakal merupakan satu kehilangan besar yang akan dirasai oleh semua rakyat Sarawak. Tokoh yang mampu menyatukan semua kaum dan etnik di Sarawak di bawah satu ikatan perpaduan yang erat ini perlu diakui amat susah untuk dicari ganti. Tidak ramai pemimpin di Sarawak yang mampu mempunyai kriteria sebagaimana Taib Mahmud.
Sentuhan Abdul Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak begitu “magis” dan signifikan bagi negeri itu secara keseluruhannya. Di antara sentuhan “ajaib”nya ialah berkenaan pentadbiran sumber balak di negeri itu.
Sehingga kini, sistem pembalakan di Sarawak merupakan salah satu sistem yang terbaik di dunia. Konsesi pembalakan yang digunapakai di negeri itu telah menjadi rujukan dari pelbagai negara di serata dunia. Sistem yang teratur, mesra alam dan terbaik di dunia ini telah menjadikan Sarawak adalah negeri yang terkaya di rantau Asia Tenggara.
Ramai yang tidak tahu bahawa setiap konsesi balak di Sarawak, sebanyak 30 peratus dari hasil konsesi tersebut adalah milik mutlak Kerajaan Negeri itu. Pemantauan ketat yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri itu terhadap aktiviti pembalakan menjadikan segala aktiviti pembalakan di situ terkawal dan terpelihara dari sebarang penyelewengan.
Itu adalah di antara sentuhan Taib Mahmud yang memberikan impak yang besar terhadap pertumbuhan Sarawak sehingga kini. Penulis berharap agar pemimpin yang bakal menerajui Sarawak selepas ini dapat mempertahankan legasi dan lebih pro-aktif memajukan negeri Sarawak.
Pada penulis, selepas Taib Mahmud mengumumkan rancangan pengundurannya, sekaligus mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri yang akan disusuli dengan pilihanraya DUN, pastinya beliau sudah mempunyai “calon pengganti” yang akan meneruskan perjuangan rakyat Sarawak kelak.
Selain mengharapkan agar Taib Mahmud “tidak tersilap” menyerahkan jawatan Ketua Menteri kepada “yang tidak sepatut”nya dan mengulangi “kesilapan yang dilakukan oleh Tun M sebelum ini”, penulis memohon kepada “calon yang terpilih” agar menyediakan diri secukupnya demi masa depan negeri dan rakyat Sarawak.
Sesungguhnya bukan mudah untuk mentadbir sebuah negeri yang besar seperti Sarawak. Nak diharapkan Pakatan Pembangkang? Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah yang kecil itu pun gagal ditadbirnya, apatah lagi Sarawak, pastinya hancur. Harapnya, Sarawak akan mendapat seorang Ketua Menteri yang setanding Pehin Seri Taib Mahmud, atau lebih hebat darinya. Begitulah harapnya.

No comments:

Post a Comment